Sejarah Penubuhan Surau (Haji Rahman)

Menurut Haji Abd. Rahman B. Abdullah melalui temubual yang telah dijalankan tempoh hari berikutan dengan sejarah penubuhan Surau BBB:

Pada permulaannya, taman perumahan Jalan 2/4 BBB ini mempunyai lebih kurang seramai 200 penduduk termasuk kaum melayu, cina dan india. Dari situ maka tubuhnya satu Persatuan Penduduk Kawasan Jalan 2 BBB pada sekitar tahun 1984. Tujuan penubuhan persatuan ini adalah untuk saling mengenali penduduk sekeliling kawasan perumahan tersebut. Persatuan penduduk ini di bawah naungan satu persatuan besar iaitu dinamakan Persatuan Penduduk BBB. Pada masa itu, persatuan penduduk kawasan Jalan 2 BBB ini dianggotai seramai 12 orang ahli jawatankuasa persatuan.

Setelah persatuan ditubuhkan, maka barulah tercetusnya cadangan untuk membina satu surau untuk para penduduk jalan 2 BBB ini. Permohonan sebuah rumah teres 3 bilik untuk dijadikan surau sementara telah diajukan kepada PKNS. Maka PKNS telah meluluskan permohonan tersebut di mana rumah teres tersebut atau surau sementara itu terletak di Jalan 2/4B. Oleh demikian, para penduduk kawasan tersebut boleh manjalankan amal ibadah secara berjemaah atau beramai-ramai di surau berkenaan. Peredaran masa berlalu telah meningkatkan jumlah penduduk kawasan perumahan jalan 2 ini. Justeru, aktiviti yang dijalankan di surau tersebut terbatas akibat keluasan surau tidak mampu menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

Oleh itu, JKK taman perumahan jalan 2 BBB ini bercadang untuk menubuhkan sebuah surau tetap yang lebih luas agar dapat menampung para penduduk. Mereka mengajukan permohonan kepada pejabat tanah untuk memohon peruntukkan kawasan lapang untuk kegiatan awam yang berkeluasan sekitar 4-6 hektar. Pada awal 90-an sebuah surau ditubuhkan secara gotong-royong oleh penduduk sekitar taman perumahan tersebut. Penubuhan surau ini mendapat kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana surau tersebut menggunakan simen pero dari UPM. Hal ini kerana salah seorang pensyarah UPM iaitu Dr. Said Mansor merupakan salah seorang penduduk taman tersebut merupakan pensyarah di UPM dan simen pero itu terhasil daripada satu projek oleh pelajar dari UPM. Surau bersimen pero ini kini telah dijadikan sebagai sekolah tahfiz. Dalam masa yang sama, pihak jawatankuasa bertindak untuk berikhtiar mendapatkan tapak tanah lain dari PKNS kerana mendapat ura-ura mengatakan bahawa tanah yang seluas 4-6 hekar itu akan dibina perumahan. Jadi, dari situ setiausaha persatuan jalan 2 memohon tapak tanah lain yang seluas 2 hektar. PKNS telah memanjangkan permohonan ini kepada kerajaan negeri Selangor. Tiga orang wakil persatuan iaitu Cikgu Mohd Yunus, Haji Rahman B. Abdullah dan Prof. Dato’ Ismail Rahman telah berjumpa dengan Menteri Besar yang pada masa itu dipegang oleh Tan Sri Dato’ Mat Said. Selepas pada itu, Menteri Besar menulis surat kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya tanah tersebut diluluskan kepada persatuan Jalan 2, BBB.

Setelah tanah diluluskan, maka persatuan mula berusaha mencari dana untuk membangunkan surau tersebut. Pada masa itu, jawatankuasa surau dipengerusikan oleh Cikgu Mohd Yunus. Selain itu, AJK surau berusaha melakar pelan dan mendapatkan kelulusan untuk membangunkan bangunan surau daripada MPKj dan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat. Pengumpulan dana bagi membangunkan surau tersebut mengambil masa lebih kurang selama 2 tahun. Dana dikumpulkan hasil derma daripada penduduk Jalan 2, penduduk BBB dan penderma luar. Dalam masa yang sama, Pejabat zakat telah menyumbangkan hampir 30K untuk penubuhan surau ini. Pembangunan surau tersebut memakan belanja pada peringkat awal lebih kurang mencecah RM750K. Selesai surau tetap ini dibina maka surau sementara itu dijadikan sebuah sekolah tahfiz dan surau sementara yang mula-mula sekali dijadikan sekolah tadika hingga ke hari ini.

Advertisements

Sejarah Penubuhan Surau (Haji Ishak)

Menurut temubual yang dijalankan bersama Haji Ishak Bin Fatih Din iaitu setiusaha Surau Al-Ehsan:

Tertubuhnya surau Al Ehsan apabila berlakunya pembangunan di Bandar Baru Bangi pada tahun 1977 di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. Oleh itu, ramai penduduk yang terdiri daripada golongan berkepentingan telah berhijrah ke Bandar Baru Bangi atas penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia. Secara amnya, Bandar Baru Bangi diwujudkan pada tahun 1977 sempena pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kebanyakkan penduduk yang berhijrah ke Bandar Baru Bangi merupakan penganut beragama Islam dan mereka memerlukan sebuah rumah ibadat untuk pelbagai tujuan seperti beribadah, berkumpul dan bermusyawarah. Disebabkan kerajaan mewujudkan satu bandar baru iaitu Bandar Baru Bangi, maka wujudlah surau ini.

Pada tahun 1978, penempatan baru di kawasan Bandar Baru Bangi telah siap dibina dan pada tahun 1981, bangunan teres satu tingkat telah diduduki oleh penduduk yang berhijrah ke situ. Oleh itu, pada 19 Jun 1981 penduduk dari Bandar Baru Bangi, Seksyen 2 telah bersepakat untuk menubuhkan sebuah surau fasa pertama iaitu merupakan sebuah rumah teres setingkat beralamat NO 24 Jalan 2/4C untuk kepentingan bersama. Maka , mereka menubuhkan sebuah jawatankuasa surau yang dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Rasyid manakala jawatankuasa penduduk pertama pula dipengerusikan oleh Haji Ahmad Yunus.

Setelah penduduk di sekitar seksyen 2 semakin bertambah, mereka membuat keputusan untuk membina sebuah surau yang kedua pada tahun 1986. Surau Al-Ehsan fasa yang kedua ini bertahan selama 10 tahun yang dibina oleh Syeikh Ali Masyhur yang merupakan seorang pensyarah di UPM. Surau fasa kedua kini telah dijadikan sekolah tahfiz iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Kemudiannya, penduduk sekitar Seksyen 2 mendapat peruntukan daripada kerajaan untuk membina sebuah surau yang lebih besar dan selesa untuk menampung keperluan penduduk sekitar seksyen 2. Surau fasa yang ketiga ini mula dibina pada tahun 1996 dan rasmi digunakan pada tahun 1997 sehingga kini. Pengerusi pertama bagi surau Al-Ehsan fasa yang ketiga ialah Prof. Dr. Abdul Rahim.

Jawatankuasa surau ketiga ataupun lebih dikenalai sebagai Surau Al-Ehsan, Bandar Baru Bangi Seksyen 2 ini telah berubah dari masa ke semasa. Tampuk pemerintahan pengerusi di surau ini merupakan seseorang yang berpengaruh kerana mereka mempunyai daya keintelektualan yang tinggi. Pengerusi pertama surau adalah Ustaz Rasyid yang juga merupakan bekas imam penjara kajang. Nama Surau Al-Ehsan ini merupakan idea beliau berdasarkan ehsan/simpati orang ramai kerana segala pembiayaan atau peralatan yang ada di surau tersebut diinfakkan oleh orang ramai. Seterusnya adalah Cikgu Mohd Yunus, Prof Rahim, Prof Amran, Prof Supyan.